PERJUANGAN BANTU WANITA BEBAS DARI GUNA PRODUK MERBAHAYA

HARIAN METRO, JUMAAT, 18/01/2019 

  

 

SEJAK awal, perjalanan karier wanita ini nampak lancar, sama seperti kebanyakan individu sealiran dengannya. Bermodalkan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di tangan, Nina Nadia Sahim, 30, mengorak langkah yakin sebagai jurutera sebaik tamat pengajian.

Enam bulan kemudian, dia beralih arah menjadi pegawai penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP). Namun sedikit demi sedikit minatnya pudar. Kerjaya yang dicita sejak dulu rupanya tidak mampu menjamin kepuasan dirinya.

“Dulu, saya bayangkan menjadi jurutera adalah pilihan terbaik selepas tamat belajar, tetapi rupanya tidak. Saya langsung tidak berminat. Saya tidak nampak masa depan yang diimpikan kalau masih menjadi jurutera.

“Pada masa sama, saya kian seronok melihat kesibukan kakak yang mengusahakan restoran bersama suami. Saya senang melihat kehidupan mereka. Dari situ, saya mula menyimpan keinginan untuk berniaga.

“Saya percaya memang sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan. Jadi, kenapa saya perlu berada dalam bahagian satu persepuluh? Nekad dengan keputusan dibuat, saya akhirnya berpindah ke Kuala Lumpur dan memulakan perniagaan solekan serta busana pengantin,” katanya.

Hari demi hari, kecenderungannya anak kelahiran Kulai, Johor ini dalam bidang kecantikan terus meningkat. Fitrah wanita menuntut dirinya untuk selalu kelihatan cantik. Jadi, dia memilih produk penjagaan wajah yang popular ketika itu kerana dirasakan mampu memberi kepuasan segera untuknya.

“Selama empat tahun saya setia menggunakan produk yang sama. Memang tidak ada perasaan sangsi, kerana ada juga kawan yang turut menggunakan jenama sama.

“Hanya selepas hamil anak pertama, gerak hati saya menolak untuk terus menggunakan produk terbabit. Saya bimbang ia memberi kesan negatif kepada kandungan dan bayi.

“Biarpun tidak pasti, saya turutkan juga gerak hati seorang ibu. Saya pilih untuk bebas daripada menggunakan sebarang produk kecantikan. Mana tahu, selepas itu kulit saya berubah kusam, ditumbuhi jerawat dan bibir menjadi gelap,” katanya.

Terkejut dengan perubahan mendadak itu, Nina jadi takut untuk menyentuh kembali produk terbabit. Untuk tempoh lima bulan pertama, dia mencuba pelbagai petua alami untuk mengubati kembali wajahnya yang rosak.

“Saya amalkan makan tomato, menggunakan pupur yang dibuat sendiri daripada campuran lobak merah dan kentang. Saya belajar dan melakukan banyak eksperimen untuk mengadun pupur, skrub, pencuci wajah dan pelbagai perawatan kulit. Semuanya daripda bahan dapur.

“Lama-kelamaan, ia menjadi sebahagian hobi. Sebagai rujukan, membaca kajian dari universiti luar negara mengenai bahan alami dan reaksi serta kesannya kepada individu. Paling utama, saya peka terhadap isu semasa. Saya kenal apa itu produk sampah, timbang kilo dan yang mengandungi bahan terlarang. Jadi, saya fikir tidak adil jika pengetahuan ini disimpan untuk diri sendiri saja.

“Umpamanya, kalau yang ada merkuri, kesan jangka panjangnya boleh menyebabkan masalah buah pinggang dan sistem saraf terganggu. Kesan kepada janin (kandungan) juga cukup bahaya. Ia boleh menyebabkan keguguran dan kecacatan.

“Oleh itu, saya letak tanggungjawab kepada diri. Saya mahu membantu lebih ramai wanita untuk cantik dengan cara selamat tanpa mengorbankan masa depan diri dan anak. Sebab itulah saya pilih cabang perniagaan ini. Saya anggap ia sebagai perjuangan untuk membebaskan wanita daripada cengkaman kosmetik berbahaya,” katanya.

REDAH ONAK DURI

SEKALIPUN menceburi bidang kosmetik nampak mudah bagi kebanyakan orang, Nina tidak pernah menilai usahanya daripada perspektif sama. Sebelum berada di tempat sekarang, dia gigih berkongsi pelbagai ilmu perawatan wajah alami dengan rakan dan pengikut Instagram miliknya.

“Setiap hari saya akan kongsi resipi pupur, masker atau pencuci muka yang baru. Saya aktif mengambil bahagian dalam komuniti Facebook menerusi Kelab Flawlesskan Wajah. Saya sediakan sesi soal jawab bersama pengikut Instagram dalam slot #TanyaMommy setiap hari untuk mereka yang mengalami masalah kulit wajah.

“Walaupun sukar, cabaran utama untuk saya adalah untuk mengenal potensi diri sendiri. Saya selalu percaya, kalau kita buat sesuatu perkara yang disukai, kita tidak akan berhenti atau mudah berasa penat.

“Tapi kalau kita lakukan kerana sekadar untuk menunjuk, ikut-ikutan atau sebab berkait dengan kepentingan jualan, kita akan cepat penat dan mudah berputus asa. Saya gembira kerana berpeluang melakukan perkara yang saya betul-betul suka. Jadi, saya hanya perlu konsisten dan terus berkongsi ilmu tanpa jemu,” katanya.

Bercerita mengenai anak dan keluarga, kata Nina, dia jarang berdepan masalah untuk menguruskan semua komitmen yang ada walaupun kerap dihambat kesempatan dan masa.

“Penting bagi usahawan wanita seperti saya untuk membuat pembahagian masa antara kerjaya dan keluarga. Kita perlu jelaskan kepada keluarga mengenai tanggungjawab dalam kerjaya supaya mereka dapat faham. Selalu jujur dan jelas dalam setiap perkara. Melalui cara itu, semua urusan keluarga akan lebih mudah.

“Selain itu, saya juga bertuah kerana suami banyak memberi dorongan dan semangat. Kalau hendak diikutkan, saya hanya pandai mengenai bidang kecantikan menggunakan bahan semula jadi, pemasaran dan jualan. Saya lemah dalam pengurusan syarikat dan perlu orang yang boleh dipercayai serta tahu selok belok mendirikan perusahaan sendiri.

“Sebab itulah suami menjadi ketua pegawai eksekutif. Semua kata putus adalah daripada suami. Lagipun, suami seorang yang mempunyai perwatakan tenang dan lebih rasional dalam membuat keputusan,” katanya tersenyum.

Soal persaingan, Nina cukup positif. Katanya, dia percaya setiap usaha akan ada cabaran dan saingan yang menanti tidak kira dari orang terdekat atau dalam kalangan pemain industri itu sendiri.

“Industri kecantikan lebih banyak liku. Namun pada saya, niat untuk membantu dan menyedarkan pengguna kosmetik itu lebih penting. Saya mahu lebih ramai wanita sedar mengenai aspek utama yang perlu dipertimbangkan dalam memilih produk kecantikan.

“Saya selalu meletakkan iFlawless sebagai cermin untuk saya kembali menilai diri sendiri. Saya percaya setiap kesusahan atau ujian yang saya pernah tempuh dulu kerana Allah SWT,” katanya.

 

Dipetik dari artikel : Harian Metro, Jumaat, 18 January 2019

Leave a comment

Name .
.
Message .
Become a member and save 5% storewide! Register or Login.